Wednesday, August 26, 2009

Petikan daripada Berita Harian : Krakatau Kembali Hantui Penduduk

Saintis berjaya merakamkan gunung berapi kembali 'hidup'
selepas 126 tahun tidur


LEBIH seabad menyepi selepas meluahkan lahar yang memakan ribuan korban, gunung berapi Krakatau kini kembali mempamerkan isyarat membimbangkan penduduk berhampiran dan saintis yang mengagak letusannya kali ini mungkin lebih dahsyat.

Dengan ketinggian 356.76 meter dari aras laut Selat Sunda, gunung berapi paling menggerunkan itu sedia menggegarkan muka bumi ini sekali lagi. Kali terakhir ia memuntahkan lahar pada 1883 yang menyaksikan lebih 36,000 orang terkorban, sekali gus mengubah cuaca dan suhu global selama lima tahun selepas itu.

Rekod rasmi menunjukkan ketika kejadian pada 1883 itu, bersama-sama tsunami setinggi 36 meter yang dicetuskan, memusnahkan 165 kampung dan pekan, merosakkan dengan teruk 132 kampung lagi dan meragut 36,417 nyawa.


Selepas 150 tahun kemudian, wilayah yang menjadi lokasi Krakatau antara Pulau Jawa dan Sumatera di Indonesia semakin padat, dengan petani ditarik ke kawasan itu kerana tanahnya yang subur. Tidak sukar membayangkan beratus ribu bakal menemui ajal jika satu lagi letusan kuat berlaku.

Namun, wujud keraguan jika Krakatau meletus sekali lagi dengan kekuatan sama, impaknya akan jauh lebih dahsyat berbanding yang disaksikan pada abad ke-19.

“Gunung berapi mengulangi letusan seperti pada 1883 banyak kali. Pandangan biasa ialah Krakatau akan sekali lagi menjadi amat bahaya apabila mencecah saiz seperti pada 1883. Namun kini ia dua kali lebih kecil,” kata Marco Fulle, saintis dan pakar kaji bintang dan pakar gunung berapi kelahiran Itali yang merakamkan gambar itu.

Bagaimanapun, tiada jaminan dapat diberi sama ada satu lagi letusan tidak akan berlaku pada masa terdekat. Dalam kejadian pada 1883, kapal Jerman, the Elizabeth, melaporkan melihat debu dan asap menyelubungi pulau Krakatau pada ketinggian lebih 11,000 meter ke udara pada pagi 20 Mei. Menyusul beberapa bulan selepas itu, hanya ada asap, bunyi bising dan semburan debu. Masalah itu tidak mendorong penduduk tempatan meninggalkan kawasan berkenaan, sebaliknya pertunjukan bunga api semula jadi itu menjadi tarikan.



Semua itu berubah serta merta selepas tengah hari 26 Ogos apabila kejadian pertama siri letusan besar menyemburkan serpihan abu panas sehingga 35,000 meter ke udara dan kemudian pada jam 5.30 pagi keesokan hari, empat letusan besar menenggelamkan dua pertiga daripada kepulauan itu.

Info


# Krakatau memiliki kuasa letupan 13,000 kali lebih kuat daripada bom atom yang memusnahkan Hiroshima ketika Perang Dunia Kedua.

# Purata suhu global berikutan letusan itu jatuh sebanyak 1.2 darjah Celsius

# Lebih 90 peratus mangsa Krakatau maut akibat tsunami

# Letupan dapat didengar sehingga 3,040 kilometer ke Perth dan 7,200 kilometer ke Sri Lanka.

Main source http://jaarsmtd.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Ask me anything , i will reply as soon as possible . xoxo