Saturday, October 17, 2009

Sejauh Manakah Kita Bersyukur Dalam Kehidupan Ini?

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak pernah terlepas daripada menghadapi perasaan susah hati, gusar, dan sebagainya. Tidak kira sehebat mana pun anda, anda akan tetap merasai perasaan tersebut. Pada pandangan peribadi saya, perasaan susah hati ini timbul apabila kita tidak memanjatkan kesyukuran atas kurniaan rezeki yang dikurniakan oleh-Nya.

Tanya pada diri anda sendiri, adakah setiap perjuangan yang anda lakukan dalam kehidupan seharian anda diakhiri dengan ucapan syukur kepada Allah S.W.T? Adakah anda seorang yang terlalu mengejar dunia sehingga lupakan amalan yang perlu dibawa ke akhirat kelak?

Ramai yang mengadu menghadapi kesukaran dalam kehidupan tidak kira daripada pelbagai aspek seperti kewangan, percintaan, keluarga dan sebagainya. Ketahuilah bahawa setiap kesukaran yang anda hadapi, pasti akan ada orang selain daripada anda yang menempuhi dugaan yang lebih dahsyat daripada anda. Oleh itu, sentiasalah bersyukur atas apa yang berlaku dalam diri anda dan sentiasa memperbaiki kehidupan anda pada masa akan datang.

Kuasa Bersyukur

Bersyukur bukan sahaja dapat mendekatkan diri kita dengan Allah S.W.T, malah ia dapat memberikan ketenangan yang tiada tandingannya. Setiap ketenangan itulah akan membawa kita untuk meneruskan kehidupan serta berusaha untuk meningkatkan taraf hidup ke arah yang lebih baik dan diberkati oleh-Nya.

Jadi mulai hari ini marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa kesyukuran atas segala kurniaan rezeki yang diberikan. Saya percaya setiap halangan dan cabaran yang diturunkan oleh Allah S.W.T pasti membawa hikmah yang mempunyai 1001 maksud tersirat. Sama-samalah kita berjuang ke jalan yang dibenar dan diredhai oleh-Nya.

Ya Allah Ya Razak, kurniakanlah kami rezeki yang halal dan diberkati olehmu dalam setiap saat ketika kami menjalankan kehidupan seharian kami. Sesungguhnya kami hanya hambamu yang lemah. Bantulah kami dan basahkanlah lidah kami ini agar kami dapat memanjatkan rasa kesyukuran atas segala kurniaan daripadamu Ya Allah..Amin..

Jika anda mempunyai sesuatu yang hendak dikongsikan dalam artikel ini, sila luahkan pendapat anda melalui ruangan komen yang disediakan oleh kami. :)




Dipetik dari http://motivasikejayaan.com/

No comments:

Post a Comment

Ask me anything , i will reply as soon as possible . xoxo