Thursday, March 17, 2011

Ancaman Radiasi akibat LETUPAN LOJI NUKLEAR SELEPAS TSUNAMI DI JEPUN

Proses perebakan bahan radioaktif loji nuklear di Jepun agak perlahan berdasarkan faktor cuaca

JANGAN panik! Itulah saranan paling tepat perlu disalurkan kepada rakyat di negara ini berikutan ancaman kesan bahan radioaktif dari letupan reaktor nombor tiga loji nuklear Daiichi Fukushima, Jepun selepas digegarkan gempa bumi pada skala 9 Richter Jumaat lalu disusuli siri gempa pada skala lebih kecil sejak seminggu lalu.
Pelbagai laporan media tempatan dan antarabangsa menimbulkan kebimbangan betapa kebanyakan negara di Asia mungkin terkena tempias radiasi bahan itu kerana bahan radioaktif yang dilepaskan loji nuklear itu diklasifikasikan sangat berbahaya sebenarnya hanya tanggapan semata-mata.
Realitinya, dalam keadaan cuaca lembap ketika ini dengan hujan melanda kebanyakan negara di Asia, proses perebakan bahan radioaktif menjadi semakin perlahan dan jika sampai ke negara ini sekalipun, ia tidak cukup kuat untuk mendatangkan kesan kepada kita.

Pakar Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Sukiman Sarmani, berkata rakyat negara ini tidak perlu bimbang atau panik dengan ancaman ini meskipun tidak dapat dinafikan dua daripada 250 bahan radioaktif yang dilepaskan reaktor loji nuklear di Jepun mampu mendatangkan masalah kepada kebanyakan penduduk dunia.

“Caesium dan strontium adalah dua bahan radioaktif paling berisiko daripada 250 bahan radioaktif. Jika dilepaskan ke ruang udara, ia mampu bertahan selama 30 tahun sama ada merebak melalui udara atau air jika ia mendap jatuh ketika hujan. Perlu diakui, jika ia merebak melalui udara atau air serta tersimpan dalam badan hidupan laut yang menjadi bahan makanan manusia, ia bakal mendatangkan kesan negatif.

“Jika masuk dalam sistem tubuh manusia, ia bakal menyebabkan pelbagai jenis kanser. Namun, berdasarkan situasi semasa di mana hujan kerap turun sekali gus melambatkan pergerakannya melalui udara, tahap penyebarannya ke negara ini akan menjadi perlahan.
“Memang ia mampu sampai ke negara kita, tetapi bukan dalam masa singkat. Mungkin dua minggu, mungkin sebulan dan jumlahnya sangat sedikit untuk memberi kesan kepada rakyat kita. Malah, kita sebenarnya sudah cukup bersedia dengan kemampuan empat stesen pemantau di Sabah, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Genting yang akan memberikan isyarat jika ada guguran radioaktif tinggi berlaku di negara ini.

“Pada masa ini, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Kerajaan sudah bertindak memantau semua bahan makanan import dari Jepun untuk memastikan tiada bahan radioaktif berbahaya. Namun, sebagai langkah susulan, rakyat kita di Jepun perlu dibawa pulang kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku selepas ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sukiman merujuk kepada pengalaman tragedi letupan loji nuklear di Chernobyl, Russia pada 1986 yang pada ketika itu juga tidak memberi impak buruk kepada negara ini. Malah, beliau yakin Jepun mempunyai kemampuan dan kesediaan bagi memastikan reaktor nuklear itu tidak meletup.

Jepun sebenarnya bergantung kepada nuklear untuk menjana 30 peratus bekalan elektrik lantaran negara itu tidak mempunyai sumber gas minyak dan arang batu seperti kebanyakan negara lain termasuk Malaysia. Penggunaan nuklear tetap diteruskan mereka meskipun pernah melalui malapetaka bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945.

Negara Matahari Terbit itu sebenarnya sudah mereka cipta reaktor nuklear sejak 40 tahun dulu dengan kemampuan menyerap gegaran gempa bumi sehingga 8.2 skala Richter dan tsunami sehingga ketinggian 6.5 meter. Namun, minggu lalu, gempa bumi di Jepun mencecah 9 skala Richter dan ketinggian tsunami mencecah 10 meter.

“Kiraan kesan gempa bumi bukan seperti kiraan matematik biasa. Ia bukan sembilan tolak 8.2. Sebenarnya kekuatan gempa bumi itu bersamaan dengan 800 kali ganda kekuatan 8.2 skala Richter itu dan kerana itulah kesannya sangat teruk kepada reaktor nuklear itu. Dulu, pada sekitar 1970-an, gempa bumi di Jepun tidak pernah melebihi angka 8.2 skala Richter sekali gus mereka berasakan cukup selamat selama ini.

“Apabila gempa berlaku baru-baru ini, penjana kuasa di reaktor nuklear itu tertutup secara automatik dan pada masa sama menyebabkan bekalan elektrik terputus. Namun, meskipun sistem itu sudah dimatikan, reaktor itu sebenarnya perlu disejukkan secara berterusan.

“Malangnya, baru sejam mereka menggunakan generator untuk mengepam air laut ke dalam reaktor, tsunami pula melanda yang sekali gus menghanyutkan mesin itu. Penggunaan alat bateri pula mengambil alih peranan itu, tetapi hanya bertahan selama lapan jam. Apabila jana kuasa baru tiba di lokasi, ada pula beberapa masalah teknikal menyebabkan alat itu tidak dapat digunakan,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang proses penyejukan menggunakan air laut, prosedur pemantauan dianggap gagal kerana disyaki meter suhu rosak. Akibat tekanan sangat tinggi dalam reaktor, mereka terpaksa melepaskan wap dalam bangunan yang tidak mendatangkan masalah kepada orang ramai.

Namun, apabila air terkena sinaran bahan radioaktif, ia akan berpecah kepada hidrogen dan oksigen sekali gus menghasilkan letupan. Itulah yang berlaku sekarang sekali gus mendatangkan bahaya kepada orang ramai dalam lingkungan kawasan berhampiran.


credit:bhonline

No comments:

Post a Comment

Ask me anything , i will reply as soon as possible . xoxo