Mungkin ramai yang sukar untuk percaya; walaupun beliau merupakan
seorang ibu yang berkerjaya, beliau telah berulang-alik dari Kuala
Lumpur ke United Kingdom sekurang-kurangnya 4 kali dalam masa kurang
dari setahun.
Kesemua perbelanjaan ditanggung sendiri dan bukanlah dibiayai oleh kerajaan.
Tatkala semua orang membuat persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri,
beliau membuat keputusan untuk menyambut hari mulia itu bersama anaknya
di bumi asing United Kingdom.
Melalui keputusan itu, beliau boleh memasak lemang, rendag dan kuah kacang yang sangat dirindui oleh anaknya.
Saya masih ingat beberapa tahun lepas, saya telah berkata kepada diri
sendiri bahawa apabila saya besar nanti, saya akan memiliki pekerjaan
sendiri, kehidupan yang terjamin dan menjaga ibu saya.
Saya mahu berikan beliau kasih sayang sepertimana kasih sayang yang telah beliau curahkan kepada saya ketika saya kecil.
Walaubagaimanapun, Allah pastinya mempunyai perancangan tersendiri.
26 tahun telah berlalu, saya masih bergantung kepada ibu sepertimana saya masih kecil dulu.
Mengidap penyakit kanser membuatkan saya merasakan bahawa saya
kembali menjadi seorang bayi, jika dilihat dari segi perhatian yang
diberikan oleh ibu.
Ketika gatal di badan saya menyerang dan saya tak mampu untuk menahannya, ibu akan sentiasa membantu saya meletakkan ubat krim.
Selain itu beliau akan tolong garukan belakang saya supaya kegatalan itu reda.
Ketika saya rasa tak sedap badan dan sangat penat,
ibu akan duduk di sebelah saya dan meletakkan tangannya di atas lengan
saya. Bahasa badannya menyatakan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja.
Ketika saya batuk dengan teruk dan rasa tertekan
dengannya, ibu akan mendekati saya dan beliau akan memeluk saya; pelukan
yang saya sangat perlukan untuk terus kuat dan tabah.
Dan senarai itu berterusan.
Ketika ibu bertugas di luar daerah, selalunya saya akan turut
bersamanya; samada saya akan menjadi pemandunya atau saya menemaninya di
dalam pesawat.
Ibu sanggup membeli tiket kapal terbang tambahan jika perjalanan perlu menggunakan kapal udara itu.
Sepanjang beberapa bulan lepas, kami telah mengembara bersama-sama ke Langkawi, Kuantan, Seremban, Genting Highlands dan lain-lain lagi.
Saya akan bersama ibu setiap kali ibu 'outstation' kerana ibulah
insan yang terbaik dalam menjaga anak lelaki yang berumur 26 tahun ini.
Beliau tahu apa makanan yang terbaik untuk saya, apa yang saya boleh
buat dan tidak boleh buat, dan apa yang saya perlu lakukan apabila saya
berhadapan dengan detik-detik yang sukar.
Kadangkala saya hairan dari mana ibu dapat tenaga, kesabaran dan kekuatan untuk terus cekal menjaga saya.
Cuba anda tanya siapa-siapa yang menjaga pesakit kanser dan anda akan faham maksud saya.
Ibu juga akan sentiasa pastikan bahawa beliau tidak akan menunjukkan muka marah di hadapan saya.
Beliau faham bahawa bagi pesakit kanser, tekanan dan nafsu amarah perlu diminimakan.
Kadangkala ibu akan buat jenaka. Ketika beliau berbual dengan
rakan-rakan atau sanak-saudara, beliau akan mengatakan bahawa saya
adalah 'bayi besar.'
Pastinya saya tidak ambil hati dengan panggilan itu malah saya bersetuju dengan ibu kerana saya rasa dimanjakan olehnya.
Saya selalu terkenang, bagaimana saya mampu untuk terus hidup tanpa bantuan ibu.
Saya akan sentiasa memberitahu diri saya bahawa saya ada Allah dan Allah sendiri sudah cukup bagi saya.
Tetapi saya akan terus berdoa agar Allah berikan kesihatan kepada
kedua ibu-bapa saya dan seterusnya Allah memberikan kemampuan untuk
mereka terus kuat menjaga 'bayi besar' mereka.
Saya tidak berapa pasti mengapa saya tulis akan perkara ini, tetapi
saya merasa satu kekuatan untuk menulisnya sebagai tanda penghargaan
yang amat mendalam terhadap ibu.
Dalam hidup saya, ibulah insan yang tidak pernah kecewa. Beliaulah insan yang memberikan saya kasih sayang tanpa syarat.
Kepada sahabat-sahabat di luar sana, sayangilah ibu masing-masing dan janganlah sekali-kali melukakan hati mereka.
Beritahu ibu kita (mengikut cara masing-masing) bahawa kita sangat
sayang kepada mereka dan tidak akan memperdagangkan ibu kita dengan apa
pun di dunia ini.
Biodata Penulis
Dr. Mas Afzal Masarudin atau lebih dikenali sebagai Mas Afzal merupakan graduan perubatan dari University of Sheffield, United Kingdom. Pada tahun 2008 (ketika beliau berada di tahun akhir pengajian), doktor telah mengesahkan bahawa beliau mengidap kanser. Mari kita sama-sama doakan agar beliau lekas-lekas sembuh dan dapat memberikan khidmat kepada masyarakt Malaysia sebagai seorang doktor. Beliau menulis pengalaman bertarung dengan kanser dalam blog peribadinya.
Credit: ILuvIslam
No comments:
Post a Comment
Ask me anything , i will reply as soon as possible . xoxo